Senyuman Dia, Mereka dan Aku

 

Hari ini aku dan anak-anak keluar berjalan-jalan dan berenang.

Sepatutnya aku merancang untuk membawa Hayder dan Lily ke taman air Gamuda Luge di Rawang. Tetapi anak-anak bertanya dengan penuh teruja, "Kita nak pergi swimming dekat rumah mummy ke?"

Jadi semalam aku menelefon Eqa dan memberitahu yang aku ingin membawa anak-anak ke rumahnya untuk berenang, berjalan-jalan, dan makan malam bersama.

Pagi tadi kami bangun awal, bersiap dan mengemas rumah, lalu bertolak ke rumah Eqa.

Melihat mereka

Aku gembira melihat anak-anak gembira dapat meluangkan masa bersama mummy mereka. Lily banyak berceloteh dan bercerita kepada mummynya. Hayder pula sudah mula rapat dan menyayangi mummynya seperti dahulu.

Aku lebih banyak berdiam diri, memerhati tingkah laku mereka, dan tersenyum melihat keakraban mereka yang semakin bertaut dan pulih.

Ada beberapa perkara yang kami bualkan dan bincangkan. Jauh di lubuk hati, aku kasihan melihat insan yang aku cintai dan sayangi melalui perjalanan hidup yang mencabar. Tidak banyak yang dikongsi oleh Eqa kepadaku, dan aku faham sebabnya. Aku tidak bertanya lebih kerana aku faham, batas antara kami perlu dijaga dan dihormati.

Jodoh di tangan-Nya

Aku sedar, jodoh itu di tangan Allah.

Aku berdoa agar kami disatukan kembali, dan aku memohon diberikan jalan terbaik untuk kami berdua dan anak-anak. Jika perceraian ini adalah jalan terbaik, aku terima. Jika rujuk kembali pada satu masa nanti, aku juga terima.

Aku banyak bermuhasabah diri. Walaupun perasaan cinta dan sayang itu masih kuat, aku mahu memfokuskan perhatianku untuk memperbaiki hubunganku dengan-Nya. Hanya dengan cara ini segalanya dapat diselesaikan.

Perjalanan yang masih jauh

Aku tahu sebelum ini hatiku berbolak-balik. Perjalananku penuh dengan naik turun. Adakalanya aku alpa dan khilaf, lalu mengikut hawa nafsu dan bisikan yang membawa aku kepada keakuan diri dan rasa memiliki.

Perjalananku masih jauh. Yang penting, aku terus melangkah dalam perjalanan ini menuju kepada-Nya.

Semoga segalanya diselesaikan oleh-Nya. Dan jika tidak, aku akan belajar menerima ketentuan-Nya.

Comments

Popular Posts