Setiap Detik dengan Izin-Nya
Hidup ini penuh dengan cabaran, ujian dan liku-liku yang menguji sejauh mana kita berpegang teguh pada ketentuan Ilahi.
Sebagai manusia, ada masanya kita terlepas pandang bahawa kuasa Allah itu tiada bandingannya. Kebergantungan kepada-Nya bukan hanya ketika susah, tetapi pada setiap masa, setiap saat dan setiap detik. Tiada satu detik pun dalam hidup kita yang berlaku tanpa izin-Nya.
Hidup setiap insan tidak sama. Setiap daripada kita mempunyai perjalanan masing-masing. Perjalananku penuh dengan naik turun: naik turun keyakinan kepada takdir, naik turun iman, dan ujian demi ujian yang menguji keteguhan hati.
Dahulu, aku sering melihat kesalahan orang lain dalam setiap perkara buruk yang berlaku dalam hidupku. Kemudian aku melalui satu fasa di mana aku merasakan diriku lebih baik daripada orang lain.
Hinggalah aku sampai ke fasa ini. Aku sedar, apa yang Allah mahu daripadaku sekarang hanyalah satu: melihat cermin. Memandang diriku sendiri. Memandang segala dosa dan salah silapku.
Aku belajar menerima segala yang terjadi dalam hidup ini. Walaupun ada yang tidak baik pada pandangan mataku, itulah pilihan terbaik yang telah Allah tetapkan untukku.
Melihat kehidupanku bersama anak-anak, aku sedar tumpuanku kini hanya pada mereka. Adakalanya aku perlu membuang segala anasir buruk yang mengganggu ketenteraman hidup ini.
Jika ada yang sentiasa cuba menguji dan bersangka buruk, aku biarkan sahaja. Mereka tidak lagi penting dalam hidupku, dan mereka tidak lagi berhak ke atas tumpuan dan perhatianku.
Apabila seseorang dalam hidupku memilih untuk memberi tumpuan kepada dirinya sendiri dan melepaskan segalanya, termasuk urusan anak-anak, aku terima keputusan itu dengan hati terbuka.
Jika suatu hari hatinya berubah, itu urusannya dengan dirinya sendiri dan dengan Tuhannya. Bukan lagi untuk aku endahkan.
Yang aku pegang hanyalah amanah di hadapanku: anak-anakku, dan jalan pulang kepada-Nya.
Comments