Jiwa Yang Meronta
Aku melihat kehidupan yang telah menjadi kebiasaan selama bertahun-tahun; kehidupan yang saban hari memberi makan kepada nafsu dan sifat keakuanku, sehingga hati ini semakin jauh daripada Tuhan Yang Maha Esa.
Tatkala Dia membuka jalan untuk aku kembali kepada-Nya, hatiku meronta dalam kesakitan. Peritnya seolah-olah ditoreh dan disiat-siat, ibarat luka yang tidak kelihatan di mata, namun diperah dengan limau. Pedihnya hanya mampu dirasakan oleh jiwa yang sedang dipulangkan kepada Pemiliknya.
Barulah aku mengerti, yang menjerit kesakitan itu bukanlah hati, tetapi nafsu dan sifat keakuan yang selama ini hidup subur dalam diri. Segala yang selama ini aku anggap sebagai diriku sedang dilucutkan satu persatu. Rupanya, untuk kembali kepada-Nya bukan sekadar meninggalkan dosa, tetapi membiarkan diri yang lama itu mati sedikit demi sedikit.
Aku sedar aku tiada kudrat, tiada daya, dan tiada upaya untuk memikul semua ini sendirian. Yang mampu aku lakukan hanyalah memohon ihsan daripada-Nya agar dikurniakan kelembutan dalam menempuh kehidupan yang sementara ini. Aku tidak berani meminta kekuatan dan kesabaran, kerana aku tahu betapa beratnya ujian yang sering mengiringi kedua-dua anugerah itu. Cukuplah aku memohon belas kasih-Nya agar dipimpin dengan lembut menuju kepada-Nya.
Perjalanan ini amat sakit. Terlalu perit untuk aku lalui. Ada saatnya diri ini hanya mampu terbaring, merintih tanpa suara, mengharapkan ihsan daripada Tuhan yang tidak pernah meninggalkan hamba-Nya, walaupun hamba itu berkali-kali meninggalkan-Nya.
Saat aku keseorangan, hadir satu rasa yang mendambakan sentuhan di pipiku daripada Cik Teh O; sentuhan yang mampu membuatkan aku merasakan kasih, cinta dan sayang agar aku mampu meneruskan langkah. Namun, dalam detik yang sama, Dia mengajarkan aku bahawa segala rasa itu bukan datang daripada manusia. Cinta itu milik-Nya. Kasih itu milik-Nya. Sayang itu juga milik-Nya. Manusia hanyalah jalan yang dipilih-Nya untuk memperlihatkan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-Nya.
Lalu Dia mendudukkan aku dalam keadaan yang tidak lagi mampu bergantung kepada sesiapa. Dia ingin aku sedar bahawa hanya Dia tempat bergantung. Tiada daya, tiada upaya, dan tiada kudrat melainkan dengan izin-Nya.
Walaupun hati ini masih meronta agar tangan Cik Teh O menyentuh pipiku sambil berbisik bahawa semuanya akan baik-baik sahaja, aku kini memahami bahawa jika sentuhan itu sampai kepadaku, ia juga datang daripada-Nya. Dahulu aku terlalu bergantung kepada manusia tanpa melihat Tuhan yang menggerakkan hati-hati mereka. Kini aku ingin belajar melihat Dia terlebih dahulu sebelum melihat makhluk-Nya.
Hatiku masih sakit. Jantungku masih berdegup lebih laju daripada kebiasaannya. Badanku masih lelah menanggung segala yang sedang berlaku. Namun setiap degupan itu mengingatkan aku bahawa setiap hela nafas ini bukan milikku. Ia boleh ditarik kembali pada bila-bila masa apabila Dia menghendakinya.
Ketakutan untuk menghadap-Nya dengan membawa segala dosa, segala kelalaian, dan buruknya adabku kepada-Nya menjadikan setiap hari satu peperangan di dalam hati. Perjuangan antara nafsu yang ingin terus hidup dengan jiwa yang ingin kembali kepada Tuhan.
Di sebalik segala kesakitan ini, Dia tetap memperlihatkan kasih sayang-Nya kepadaku. Pada wajah putera dan puteriku, aku melihat pancaran sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-Nya. Mereka menjadi penyaksian yang nyata bahawa kasih Allah tidak pernah terputus, walaupun aku sering lupa kepada-Nya.
Aku masih belum mampu benar-benar bersendirian. Apabila sunyi datang, hatiku kembali sakit dan jantungku kembali berdegup laju. Namun mungkin itulah cara Tuhan mengingatkan aku bahawa aku tidak pernah benar-benar keseorangan. Dia sentiasa ada, lebih dekat daripada urat leherku sendiri.
Jika kesakitan ini adalah jalan untuk mengenal-Mu, maka janganlah Engkau biarkan aku berjalan tanpa-Mu. Jika air mata ini adalah harga untuk kembali kepada-Mu, maka jadikanlah setiap titisannya penyuci hati yang telah lama berkarat.
Sesungguhnya perjalanan ini terlalu perit untuk diceritakan kepada manusia. Hanya Engkau yang benar-benar mengetahui sakitnya hati ini. Dan hanya kepada-Mulah aku kembali.
Comments