CUKUP

Cukup 

Setiap hari adalah satu perjalanan baharu dalam hidup ini. Aku pernah berada di satu fasa di mana mataku sibuk memerhati orang di sekelilingku. Aku memerhati setiap yang berlaku, dan memikirkan siapa dan apa yang menjadi punca kepada keadaan hidupku. Aku memikirkan semula bagaimana sesuatu yang dahulunya menjadi inspirasi kebahagiaan boleh bertukar menjadi duka, sakit dan tragedi. Perlahan-lahan, aku berhenti menyalahkan orang lain. Aku mula mengakui bahawa salah itu juga datang dari diriku sendiri. Aku memilih untuk mencari ketenangan daripada Maha Pencipta, bukan lagi berharap kepada manusia. Ada kalanya aku terfikir, apa sebenarnya yang ingin aku capai dalam hidup ini? Aku cuba memperdaya diri sendiri dengan mengatakan aku kuat, sedangkan itu hanyalah ego. Bila aku benar-benar melihat kehidupanku, aku sedar aku sudah cukup dengan segala yang diberi oleh-Nya. Menghabiskan masa memikirkan perkara yang tidak penting dan tidak bermanfaat hanya akan mendorong aku ke arah kehancuran. 

Mereka yang menjadi sandaran 

Aku bersyukur kerana anak-anak sentiasa ada di sisiku. Mereka menemaniku setiap hari dan membantu aku mengharungi hidup dengan kegembiraan yang terpancar di wajah mereka. Kegembiraan itu datang kerana mereka tahu ayah mereka akan sentiasa ada: walau susah, walau di waktu sukar, walau ketika aku sakit. Mereka tahu, walaupun diri ini mungkin hancur, mereka tetap ada aku untuk bersandar. Sejak kecil aku diajar dan dididik bahawa tanggungjawab kepada keluarga itu sangat penting. Semasa aku masih bergelar suami, itulah yang sentiasa aku pegang. Aku sedar sifatku keras, hatiku ibarat batu. Aku tidak berdendam, tetapi aku melihat diriku seperti keluarga Stark dalam Game of Thrones: aku akan sentiasa ingat. Namun aku juga sedar, tanggungjawab itu penting dan tidak boleh dibuat main. Orang luar mungkin melihat hidupku penuh dengan lompong. Dahulu aku banyak menghabiskan masa memikirkan pandangan mereka. Sekarang, tidak lagi. 

Takdir yang menyedarkan 

Semasa aku masih mempunyai isteri, aku sering terfikir betapa sukarnya hidupku tanpa dia. Namun Allah menetapkan takdir bahawa dia bukan lagi isteriku. Takdir itu menyedarkan aku bahawa perjalanan hidupku kini lebih mudah untuk menjaga dan menyayangi anak-anak, tanpa pergolakan yang sering menjauhkan aku daripada tanggungjawabku. Aku tahu aku bukan suami yang baik. Aku bukan seorang qawwam sebagaimana yang sepatutnya ada pada setiap suami. Aku pernah merasakan diriku hanya diperlukan apabila ada sesuatu yang diperlukan daripadaku. Allah menyedarkan aku bahawa kami tidak pernah sekufu. Dia bukan jodohku, dan jalan ini adalah yang terbaik untuk aku menjadi seorang ayah yang lebih penyayang, lebih bertanggungjawab dan lebih bertaqwa. Semua ini dipermudahkan oleh Allah, bukan atas kekuatan diriku yang lemah. Buat masa ini, aku hilang rasa untuk mempunyai pasangan. Hilang rasa untuk berkenalan. Hilang rasa walau untuk kembali, sekalipun diberi peluang. Perjalanan itu meninggalkan terlalu banyak luka di jiwa: tekanan mental dan tohmahan yang aku tanggung dalam diam. 

Perjuangan yang baharu 

Perjuanganku kini telah berubah. Aku memilih anak-anak untuk diperjuangkan, dan aku memilih untuk belajar daripada kehidupan ini supaya dapat melihat sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-Nya. Aku berada di fasa di mana aku tidak lagi peduli tentang perkara yang tidak penting bagiku. Yang tinggal hanyalah agamaku, keluargaku, anak-anakku dan negaraku. Aku ingin membesarkan anak-anak dengan memahami erti tanggungjawab, dan mengajar mereka mencari cinta Allah dan Rasul. Aku hanya manusia. Aku sedar kesilapanku selama ini ialah meletakkan makhluk sebagai keutamaan. Sudah tiba masanya aku melepaskan keterikatan diri pada dunia yang sementara ini, dan mengejar akhirat yang kekal abadi.

Comments

Popular Posts