Bukan Milikku
Amanah
Aku merenung kehidupanku bersama Hayder dan Lily. Setiap hari aku melihat mereka membesar. Ada hari mereka tertawa riang, ada hari mereka sedih dan beremosi.
Sejak aku bercerai dan memikul tanggungjawab sebagai bapa tunggal, aku sentiasa memaksa diri untuk kuat dan tidak berputus asa. Adakalanya aku merasakan diriku hebat dan gagah. Adakalanya pula aku terduduk, tersedar bahawa itu semua hanyalah angkuh dan bongkak.
Hatiku berbolak-balik. Jiwaku meronta antara nafsu dan keinginan diri yang terlalu lama dimanjakan, dan perjalanan sebenar menuju kepada-Nya. Jiwaku sakit dan hatiku perit dalam usaha menjinakkan nafsu dan kemahuan diri yang liar.
Soalan-soalan untuk diriku
Perceraian itu membebaskan aku daripada tanggungjawab sebagai seorang suami. Dalam merenung hidup dan hatiku, aku bertanya kepada diri sendiri, dalam usaha mengembalikan diriku kepada-Nya.
Adakah aku masih sayang kepadanya? Ya, aku masih sayang.
Adakah aku mahu kembali kepadanya? Tidak. Aku tidak mahu kembali.
Adakah aku perlukan teman hidup, atau sekadar kawan untuk berbual dan berkenalan? Tidak. Perkahwinan yang perit itu membuatkan aku memilih untuk menjauhi sebarang perhubungan buat masa ini.
Aku sentiasa berdoa agar Allah membuang rasa ini. Sakitnya adalah apabila aku masih menyayangi dan mencintainya, tetapi pada masa yang sama aku tidak mahu kembali bersamanya. Hidupku dan diriku berubah kerana dia.
Adakah hidup kini lebih baik?
Ya. Hidupku lebih baik dan lebih teratur, walaupun diri dan badanku tidak lagi mampu menanggung.
Hidupku lebih baik bukan kerana manusia, dan bukan kerana dia telah pergi dari hidupku. Hidupku lebih baik kerana ihsan Allah, kerana sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-Nya.
Aku sangat bahagia sekarang. Aku dapat mengharap kasih-Nya, cinta-Nya dan bahagia daripada-Nya.
Dua anugerah
Aku bersyukur kerana Hayder dan Lily bersamaku mengharungi kehidupan yang penuh naik turunnya. Allah mengurniakan aku dua insan yang sangat memahami, yang sentiasa ada bersamaku, ketika senang mahupun susah.
Amanah dan tanggungjawab ini akan aku galas sebaik mungkin, dengan izin-Nya.
Hayder dan Lily bukan milikku. Aku sedar, dan aku terima. Mereka adalah anugerah Allah dan amanah daripada-Nya, dan tanggungjawab itu tidak akan pernah hilang.
Hayder adalah warisku. Aku adalah wali kepada Lily, dan bila tiba masanya aku tiada nanti, Hayder pula akan menjadi pelindung dan wali buat adiknya.
Dan aku bersyukur. Aku sudah tidak lagi peduli, tidak lagi mengharap, dan tidak lagi merasakan apa-apa terhadapnya. Dia bukan lagi sesiapa dalam hidupku dan anak-anak.
Comments