Iblis Berwajah Manusia itu AKU

Tatkala aku menatap semula hidup dan perjalanan yang telah aku lalui, aku hanya melihat kejayaan. Di mataku, duit, harta, pangkat dan kesenangan yang aku terima adalah nikmat dan rezeki yang menjadi ukuran kejayaan hidup. Aku merasakan bahawa aku berjaya melepasi satu per satu titik kejayaan atas usaha dan pengorbanan aku sendiri. Aku memikirkan bahawa aku ini seorang yang baik dan mulia. Namun, tanpa aku sedar, aku hanyut dalam kehidupan yang bertuhankan diri sendiri. Aku menyembah berhala yang paling dekat denganku, berhala yang berwajah sama setiap kali aku melihat cermin. Aku tidak sedar betapa banyak yang aku terlepas dan betapa banyak yang aku hilang. Aku merasakan selama ini bahawa semua yang aku miliki adalah rahmat Tuhan atas segala usaha yang telah aku lakukan. Sehinggalah tiba satu saat, Tuhan meletakkan aku di satu sudut kehidupan yang membuatkan aku hanya mampu terdiam. Di situlah aku melihat segala penganiayaan, kekejaman dan kezaliman yang telah aku cipta dan lahirkan sendiri. Aku telah menghancurkan insan yang aku kasihi. Aku terus hidup sebagai makhluk yang bertopengkan manusia, egois, berwajah hipokrit dan berperangai yang lebih teruk daripada iblis. Sedangkan iblis sendiri, tatkala mahu menyesatkan manusia, tetap meminta izin daripada Tuhan. Di saat itulah aku tersedar bahawa rahmat terbesar yang pernah Allah berikan kepadaku ialah seorang isteri bernama Nurul Afiqah binti Abdul Rahim. Seorang insan yang tidak pernah berhenti berdoa dan menempuhi segala liku kehidupan yang sangat sukar bersamaku. Seorang isteri yang hanya mahu dirinya dikasihi, disayangi, dimanjakan dan merasa selamat. Seorang isteri yang meletakkan kepercayaan kepada aku untuk melindungi dirinya daripada segala nasib yang buruk. Istidraj itu sangat halus. Tuhan menjauhkan aku daripada-Nya melalui istidraj tanpa aku sedar bahawa aku telah sesat dari jalan yang benar. Setelah rahmat-Nya ditarik daripada diriku, aku dibiarkan mencari makna, mencari tujuan dan mencari ketenangan. Walaupun aku bersedia untuk melepaskan semuanya, aku sedar bahawa aku kini berada di titik yang sepatutnya aku berada. Titik di mana aku merasakan bahawa aku tidak layak memiliki insan yang sebaik dirinya. Namun Tuhan tetap memberikan aku satu kesedaran setelah aku terlalu hanyut. Memberikan aku kesedaran di saat tiada lagi apa yang mampu aku lakukan, kerana akhirnya aku sedar bahawa segala-galanya berada di tangan Dia, Tuhan Yang Maha Esa.

Comments

Popular Posts